in

Cari jalan selesaikan isu di Mina

Mohd Na'im (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat TH di Abraj Al Janadriyah. Turut hadir Azman Mokhtar (kiri) dan Syed Hamadah - Gambar oleh Sinar Harian

MAKKAH, 2 Julai – Isu kebajikan jemaah haji Malaysia termasuk masalah kesesakan dan ruang sempit dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Seri Paduka Baginda mahu perkara itu diselesaikan dan titah berkenaan disampaikan melalui mesej kepadanya pada pagi semalam.

Susulan daripada itu, Mohd Na’im berkata, satu ijtihad (pandangan) baharu boleh dibawa oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bagi mengatasi masalah ruang yang sempit dalam khemah penginapan di Mina.

Beliau berkata, tanpa usaha itu kemungkinan isu berkenaan akan terus berulang dan tidak boleh diselesaikan kerana keluasan Mina adalah sama dan tidak akan berubah.

“Isu sempit dan kesukaran dialami jemaah kita ketika bermabit di Mina perlu dilihat semula, maka ia perlu dibincangkan secara teliti supaya satu penyelesaian terbaik boleh dicapai,” katanya lapor Sinar Harian.

Mohd Na’im berkata, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah membenarkan jemaah tinggal di luar kawasan Mina dan berulang-alik untuk bermabit di Mina seperti dilakukan jemaah haji negara lain.

“Seingat saya Dr Juanda Jaya (bekas Mufti Perlis) pernah memberi pandangan berkenaan perkara ini dalam usaha memastikan kebajikan jemaah haji terjaga.

“Saya serahkan kepada Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji kerana jumlah jemaah haji terus bertambah dan kita mahukan jemaah kita dapat beribadah dalam keadaan selesa dan tidak menjejaskan ibadah mereka,” katanya. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Rasuah di KLIA bukan isu baru

Banjir kilat tak halang ibadah korban