KUANTAN, 14 Jun – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dari sebuah sekolah di Pekan mengalami gejala strok haba ketika mengikuti acara luar kelas di sekitar bandar Pekan, hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, mangsa dipercayai mengalami ‘heat exhaustion’ dan tidak sedarkan diri semasa menyertai acara larian lebih empat kilometer dianjurkan sekolahnya.
“Mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan rawatan lanjut.
“Buat masa ini keadaan mangsa sudah semakin stabil dan beransur pulih,” kata dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Nor Azimi memaklumkan, ketika peringkat rawatan awal di Hospital Pekan, mangsa mengalami simptom seperti suhu badan terlampau tinggi melebih 39 darjah Celsius.
Selain itu, degupan jantung pelajar berkenaan juga meningkat dengan percakapan dan fungsi otak terjejas.
“Pelajar itu sudah diberi rawatan hidrasi dan keadaannya makin pulih.
“Dia kini ditempatkan di wad unit rawatan rapi HTAA untuk tujuan pemantauan,” katanya lagi.
JKN Pahang ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengehadkan aktiviti di luar berikutan keadaan cuaca panas dan tidak menentu ketika ini. – nasionalkini.my