GAZA, 14 Jun – Seorang wanita Palestin selamat melahirkan bayi kembar empat hasil sperma suaminya yang diseludup daripada penjara di Israel.
Memetik portal middleeast.com, wanita berusia 33 tahun yang dikenali Rasmiyya Hmeid berkata, kandungannya berada dalam keadaan bahaya dan memerlukan pembedahan segera dilakukan ketika kandungan berusia tujuh bulan.
Dia kemudian selamat melahirkan bayi kembar melalui pembedahan di Hospital Al-Makassed, Timur Baitulmaqdis, pada 3 Mei lalu.
Namun, sejurus kelahiran keempat-empat anaknya ditempatkan di inkubator lebih daripada sebulan.
Kelmarin, isteri kepada Ahmed Shamali dibenarkan pulang bersama anak-anak kembar ke kediaman mereka di Semenanjung Gaza melalui Lintasan Beit Hanoun-Eraz.
Sementara itu, ibu kepada Ahmed Shamali berkata, kelahiran cucunya itu adalah cubaan kali ketiga menantu yang membuat persenyawaan melalui sperma yang diseludup daripada penjara sejak penahanan anak lelakinya, pada 2008.
“Alhamdulilah cubaan kali ini berjaya dan kami sangat bersyukur.
“Kejayaan proses itu adalah momen yang sangat menggembirakan, dan kehadiran empat cucu ini bukan sahaja memberikan kebahagiaan kepada kami tetapi juga kepada Ahmed yang masih dalam tahanan di Israel,” katanya.
Najah kemudian menghantar gambar cucu-cucunya kepada Ahmed bagi membolehkan anaknya menatap gambar bayi kembarnya.
Dia kemudian menamakan cucunya dengan namanya sendirinya iaitu Najah, Abdel Rahim, Rakan dan Rayan.
Katanya anak lelakinya dijangka akan dibebaskan tiga tahun lagi selepas didakwa menyertai gerakan Islam dan dihumban ke penjara Israel selama 18 tahun.
Sementara itu, Kelab Tahanan Penjara Palestin memaklumkan tujuh kanak-kanak dilahirkan tahun ini hasil menggunakan sperma yang diseludup, tahun lalu. – nasionalkini.my