KUALA LUMPUR, 14 Jun – Hujung minggu pasti masa yang ditunggu-tunggu selepas hampir seminggu memerah otak di pejabat.
Bagi penduduk sekitar Wangsa Maju di Kuala Lumpur, dijemput untuk memeriahkan Festival Aktif Ceria Sihat (F.A.C.E.S) yang akan diadakan pada Sabtu ini 17 Jun di Dewan Pusat Komuniti Gombak di Taman Melati mulai pukul 8 pagi hingga 2 petang.
Memetik hantaran Facebook Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, festival tersebut adalah anjuran Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju dan Pertubuhan Latihan Teraju Nusa Malaysia (PLATINUM).
Festival dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Management & Science University (MSU) ini akan dirasmikan oleh Zahir.
F.A.C.E.S dianggap istimewa kerana menggabungkan empat aspek utama iaitu sukan, kesihatan, pendidikan dan santai.
Ini merupakan julung kali program sedemikian dianjurkan di Wangsa Maju serta merupakan usaha ahli Parlimen di kawasan ini mengeratkan hubungan pelbagai kaum.
Program festival disusun untuk memenuhi citarasa semua kaum dan peringkat umur, termasuk kanak-kanak sekolah, remaja serta golongan dewasa.
Di antara aktiviti kesihatan yang diadakan ialah pemeriksaan kesihatan umum dan pemeriksaan mata serta jualan cermin mata. Demonstrasi pertolongan cemas juga diadakan untuk mendidik orang ramai memahami apa yang perlu dilakukan jika berlaku sesuatu kecemasan.
Selain itu diadakan kempen kesedaran haid yang tentunya sangat berguna kepada kaum wanita, terutama golongan remaja bagi mendapat maklumat terperinci mengenai permasalahan tersebut.
Untuk aktiviti sukan, antaranya ialah ‘Young Warrior’, iaitu sukan cabaran berhalangan atau obstacles challenge yang bakal menguji ketahanan serta kepantasan peserta menempuh halangan sukar yang dihadapi.
Golongan pelajar juga tidak dilupakan dalam festival ini di mana mereka akan menerima pemberian alat tulis percuma, di samping penyerahan sumbangan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG).
Bagi menambah meriah festival, trak makanan dan kupon makanan disediakan untuk pengunjung menjamu selera, di samping pemberian bakul sayur percuma. Tidak ketinggalan hadiah cabutan bertuah menanti pemenang.
Orang ramai dijemput memeriahkan F.A.C.E.S bersama keluarga serta manfaatkan sepenuhnya aktiviti disediakan demi mewujudkan masyarakat sihat, ceria dan bersatu. – nasionalkini.my