PEKAN, 4 Jun – Selepas lebih dua tahun merancang, akhirnya waris keluarga Lebai Sulong – Tok Esah dapat bersua muka di Kampung Tanjung Batu, dekat Ganchong, di sini, semalam.
Perjumpaan semula membabitkan empat generasi keluarga itu memang sudah lama ditunggu-tunggu.
Pengerusi penganjur program ‘reunion’ berkenaan, Datuk Seri Ishak Muhamad berkata, inisiatif untuk mengumpul semula ahli keluarga dan waris Lebai Sulong – Tok Esah adalah bagi merapatkan semula hubungan mereka.
“Program ini sudah lama dirancang, tapi hari ini (semalam) baru jadi kenyataan kerana kami (waris) bukan hanya menetap di Pahang.
“Walaupun berdepan banyak cabaran untuk menghubungi mereka semua, namun Alhamdulillah, kita berjaya mengumpul 270 waris dari seluruh negara,” katanya kepada Nasionalkini.
Ishak yang juga bekas speaker dewan undangan negeri (DUN) Pahang memaklumkan, ada antara waris keluarga Lebai Sulong – Tok Esah yang menetap di Melaka dan Kelantan, selain negeri di Utara tanah air.
“Untuk ‘reunion’ kali pertama ini, kita dapat jumpa waris dari Kelantan dan mereka menempuh perjalanan yang agak jauh berbanding saudara mara kami yang lain.
“Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada mereka semua kerana sudi menjayakan program julung kali ini,” katanya lagi.
Beliau turut memberitahu waris paling tua yang hadir pada program itu adalah berusia 82 tahun, manakala paling muda pula baru berusia empat bulan.
Mereka menerima hadiah khas daripada pihak penganjur.
“Adalah menjadi harapan saya agar perjumpaan semula ini bukan sahaja dapat merapatkan kembali hubungan antara kami, tapi paling utama ialah memberi peluang kepada generasi muda waris keluarga Lebai Sulong – Tok Esah saling kenal-mengenali,” katanya.
Perjumpaan semula itu dimeriahkan lagi hidangan terkenal Pahang seperti opor daging, rendang dan sambal tempoyak petai bilis. – nasionalkini.my