in

Selesai segera isu pelajar tak ambil SPM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu pelajar enggan belajar atau tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini bagi memastikan keciciran pendidikan di negara ini terus berlaku.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata langkah ini perlu kerana makin ramai golongan muda mengambil keputusan tidak mahu belajar, selain tidak menduduki peperiksaan dan memilih untuk bekerja.

Katanya, pendekatan membenarkan anak bekerja untuk membantu menyara keluarga tidak seharusnya dijadikan perkara biasa.

“Keadaan ini jika dibiar akan menyebabkan pelajar berasakan pendidikan tidak memberi jaminan kepada kehidupan mereka pada masa depan.

“Sebab itu mereka mengambil keputusan berhenti belajar atau tidak mengambil peperiksaan dan terus bekerja.

“Jika kita lihat profil pelajar yang tidak menduduki peperiksaan ini, mereka dalam kalangan murid dalam kumpulan prestasi akademik lemah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

“Pencapaian akademik golongan ini tidak memberangsangkan kerana lemah dalam membaca, menulis dan mengira (3M).

“Pada waktu sama, mereka sudah hilang kepercayaan kepada jaminan bahawa pendidikan akan memberi peluang lebih baik dalam kehidupan pada masa depan,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Anuar berkata antara langkah boleh diambil KPM adalah memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat awal kepada pelajar.

“Ia boleh membantu supaya (kumpulan pelajar) yang tidak berminat dengan akademik, boleh dialirkan ke situ,” katanya. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 06 19 at 10.03.08 PM

Mandy Lai terima ucapan tahniah daripada Agong dan Raja Permaisuri

Kapal selam bawa pelancong hilang