in

AGC perlu siasat dokumen tular

KUANTAN, 23 Ogos – UMNO Bahagian Pekan mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen tular yang didakwa sebagai ‘Memo Dalam’ Jabatan Peguam Negara (AGC) oleh pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 itu menyentuh mengenai enam pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Katanya, jika dokumen itu sahih, AGC perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik semula enam pertuduhan dikenakan terhadap dua individu tersebut selaras dengan rekomendasi dalam dokumen itu.

“Isi kandungan dokumen yang tular itu berbentuk rekomendasi daripada pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

“Dokumen yang tular didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara Ketika itu),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, jika dokumen itu sahih, pihaknya meminta satu siasatan dibuat bagi mengetahui sama ada wujud salah guna kuasa dan kedudukan oleh individu tertentu yang bertentangan dengan undang-undang bagi memastikan pertuduhan terhadap Najib diteruskan.

“Bahkan, elemen pendakwaan politik seperti ini untuk memberi imej negatif dan mendatangkan kerugian tidak wajar berlaku.

“Negara mengalami kerugian dengan hanya memperoleh semula AS$1.8 billion berbanding rundingan dipersetujui sebanyak AS$7 billion antara pentadbiran Najib dengan pihak IPIC,” ujarnya.

Dia menjelaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan akan menentang tegas cubaan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi.

“UMNO Bahagian Pekan sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang.

“Undang-undang sedia ada di Malaysia ini bertujuan memastikan kebenaran dan keadilan sentiasa ditegakkan,” katanya lagi.- nasionalkini.my

spr

Bakal calon disarankan buat semakan, bayar deposit awal – SPR

Pekebun sayur rugi hampir RM800,000 kena scam