ALOR SETAR, 15 Jun – Kerajaan Negeri Kedah akan menyembahkan maklum kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah, bagi mendapatkan perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau akan mendapat perkenan Tuanku sebelum pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat.
“Bubar DUN saya kena dapat perkenan Tuanku (Sultan Kedah) dahulu…Itu (tarikh 28 Jun) cadangan sahaja, kalau Tuanku perkenan baharu saya akan umum secara rasmi.
“Kalau Tuanku tak perkenan kita boleh lanjut tarikh itu sampai tarikh matang DUN Kedah pada 4 Julai, jadi terserah kepada Tuanku,” katanya seperti dilaporkan BH pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, selepas pembubaran DUN dibuat, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal, undi pos dan hari pembuangan undi. – nasionalkini.my