PASIR GUDANG, 15 Ogos – Beberapa peniaga di sekitar bandar raya ini terpaksa menjual ayam pada harga RM8.70 sekilogram ketika ini kerana mereka mendapat harga tinggi daripada pembekal bahan mentah itu.
Peniaga kedai runcit di pekan Kota Masai, Rahmad Abdullah, 34, berkata, terpaksa menjual pada harga itu berbeza RM7.39 minggu lalu kerana tidak mahu rugi selain memperoleh sedikit keuntungan.
“Peniaga di pekan ini mendapat bekalan daripada pembekal yang berbeza-beza.
“Saya mendapat bekalan ayam, ikan dan sayur daripada pembekal yang berbeza jadi susah untuk mendapatkan harga murah.
“Saya bukan suka-suka jual tidak mengikut harga ditetapkan tetapi kita bergantung kepada pembekal.
“Dalam sehari kita perlu dapatkan 30 sehingga 50 ekor bekalan ayam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
PRN antara faktor harga ayam segar meningkat
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Shafie, 40, berkata, walaupun harga tidak menentu, pelanggan tetap membelinya kerana bahan mentah itu sudah menjadi satu keperluan.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di Kuala Krai, Kelantan juga mendapati harga ayam di negeri ini meningkat sejak beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.
Peniaga ayam di Kok Lanas, Danial Izani, 30, berkata, harga ayam di sekitar Kota Bharu kini meningkat sekitar RM1.50 sekilogram.
“Harga meningkat empat hari sebelum mengundi.
“Saya menjual ayam sebelum ini pada harga RM7.50 sekilogram dan kini dijual sekitar RM8.80 sekilogram,” katanya.
Sementara itu di Georgetown, Pulau Pinang harga ayam segar di pasaran naik sehingga RM1.50 sejak seminggu lalu menjadikan bahan mentah itu berharga antara RM9.40 hingga RM10.90.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di Temerloh, Pahang mendapati harga runcit ayam bersih dijual pada harga RM11 sekilogram.
Beberapa peniaga di Pasar Awam Mentakab ketika ditemui memberitahu, kenaikan harga bahan mentah itu mula berlaku sejak beberapa hari lalu.- nasionalkini.my