KOTA BHARU, 12 Ogos – Kekurangan fizikal tidak menghalang seorang lelaki keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat dan kerajaan negeri yang baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.
Mohd Saiful Fahmi Yaakub, 36, orang kurang upaya (OKU) fizikal sejak lahir menunaikan tanggungjawab itu bersama bapa, Yaakub Harun, 63; abang, Mohd Adli, 39, dan adik, Siti Khadijah Farhana, 33.
Fahmi hanya boleh mengengsot dibawa menaiki kerusi roda dan tidak mampu bercakap, namun memahami soalan yang diajukan kepadanya.
Yaakub yang tinggal di Taman Kenanga, di sini, berkata anaknya bersemangat mengundi kerana mahu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, malah sudah bersiap sejak awal pagi.
“Awal pagi lagi dia sudah bersiap dan mahu keluar mengundi awal kerana tidak mahu bersesak dengan orang ramai.
“Saya bersyukur anak sentiasa diberi keistimewaan apabila dapat mengundi awal dan cepat dengan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada BH.
Menurutnya, anak kedua daripada lima beradik itu tidak pernah culas keluar mengundi sejak layak menjadi pemilih.
“Walaupun susah, saya dan adik-beradiknya sanggup membawanya ke pusat mengundi dan dia juga bersemangat untuk mengundi,” katanya.
Mohd Saiful Fahmi ketika ditanya perasaan dan semangat untuk mengundi, hanya mengangguk dan tersenyum lebar.- nasionalkini.my