KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pengguna Lebuh raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) fasa dua yang melalui Plaza Tol Alam Damai boleh menikmati perjalanan tanpa bayaran tol bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 29 Jun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, fasa dua SUKE membabitkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer (km) bermula dari Sri Petaling, Lebuh raya Shah Alam (KESAS) sehingga Persimpangan Cheras-Kajang.
“Pembukaan fasa dua berkenaan juga memiliki satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai yang akan beroperasi secara percuma selama dua minggu.
“Pembukaan fasa terbaru ini melengkapkan objektif utama Lebuhraya SUKE iaitu menyuraikan kepadatan trafik khususnya di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2),” katanya
Lebuh raya berkenaan dapat memendekkan masa perialanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit, berbanding 75 minit melalui laluan sedia ada.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pengguna Lebuhraya SUKE untuk sentiasa mematuhi setiap peraturan dan tidak berhenti untuk mengambil gambar dan berswafoto.
“Panorama di Lebuhraya SUKE ini memang sangat menarik dan indah, namun jangan sesekali kita mengabaikan keselamatan diri kita dan juga pengguna lebuh raya lain,” katanya. -nasionalkini.my