KUANTAN, 22 Mac – Selepas hampir setahun, isu beras putih tempatan masih belum menemui jalan penyelesaian.
Dalam tempoh setahun itu juga, rakyat masih dibiarkan dalam keadaan keliru mengenai punca ia gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan Perpaduan.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berpandangan, perkara itu seolah dibiarkan tanpa jawapan yang memuaskan kepada rakyat.
“Selepas monopoli pengedaran beras bukan lagi dimiliki oleh BERNAS, sepatutnya keadaan bertambah baik dan bekalan kembali pulih.
“Tapi sebaliknya ia tidak berlaku seperti diharapkan.
“Lebih menyukarkan rakyat, bekalan beras import pula bertambah di pasaran dengan harga yang lebih tinggi.
“Ia membebankan rakyat yang kebanyakannya sedang cuba bangkit semula selepas ekonomi mereka ‘cedera parah’ pasca COVID-19,” katanya.
Abdul Rasid turut mempersoalkan penguasaan pihak tertentu dalam hal itu.
Katanya, wujud kumpulan tertentu yang mengambil kesempatan di tengah kesukaran dihadapi majoriti rakyat.
Sebelum ini, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan segera membuat pindaan atau penambahbaikan terhadap Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi menamatkan sabotaj bekalan beras tempatan.
Pengerusi PPBMM, Mohd Termizi Yoep berkata, ini kerana rakyat terpaksa menanggung beban harga beras yang terlalu tinggi akibat daripada sabotaj kartel-kartel beras.
“PPBMM mahu kerajaan segera menguatkuasakan serta memulihkan kembali industri yang telah ‘rosak’ ini.
“Hanya berbaki 11 buah kilang Melayu di seluruh negara dengan keupayaan rendah ditambah pula tiada perhatian khusus kerajaan kepada kilang-kilang Melayu, selain permasalahan dan bebanan ketika ini akan lenyaplah kilang Melayu yang wujud sejak era Lembaga Padi dan Beras Negara lagi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Sehubungan itu, Abdul Rasid yang AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang mendesak supaya Kerajaan Madani mengambil langkah segera dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Kita tak mahu ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan jutaan ringgit di dalam kesukaran dan kesempitan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya.
Dia juga mencadangkan pihak berkuasa seperti polis dan SPRM dapat melakukan siasatan terperinci bagi melihat kemungkinan berlaku salah guna kuasa dalam isu berkenaan. — nasionalkini.my