KUANTAN, 19 Mei – Kebanjiran warga asing – sama ada dengan izin atau tanpa izin – makin menjadi-jadi.
Perkara ini tidak akan terjadi jika pintu masuk negara dikawal dengan teliti.
Apatah lagi, lambakan warga asing dengan izin pula ‘dihalalkan’ atas alasan kekurangan tenaga kerja.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali mempersoalkan kewajaran untuk membawa masuk ribuan pekerja warga asing, sedangkan ramai rakyat tempatan masih belum diberikan kerja.
“Apa rasional kita bawa dan lambak pendatang asing ini? adakah kerana terdapat pihak tertentu mengaut untung ‘atas angin’ melalui perjanjian membawa tenaga kerja dari luar negara,” katanya.
Dr Abdul Rasid turut menimbulkan pertanyaan berkaitan tahap keselamatan di pintu masuk utama negara.
“Nampak macam longgar sangat… mudah atau susah untuk kita ke sana sini menyeberang sempadan negara?
“Kalau susah, bagaimana pula dengan kemasukan secara haram warga asing sejak sekian lama? siapa yang bawa dan siapa yang izinkan?,” ujarnya lagi.
Dia mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dengan lambakan pekerja asing di negara ini.
Katanya, pengalaman lalu menunjukkan ada pekerja asing yang datang ke Malaysia dan kemudiannya ‘hilang’ secara misteri.
“Pendatang yang masuk ratus ribu, kita tak tahu berapa jumlah pendatang yang pulang ke negara masing-masing selepas bekerja di sini.
“Sepatutnya ada had masa diberikan… lepas dua atau tiga tahun bekerja, mereka wajib balik,” tegasnya.
Dr Abdul Rasid juga meminta pihak berkuasa seperti imigresen dan Kementerian Dalam Negeri menyemak butiran setiap pekerja asing yang bekerja di Malaysia.
“Jangan sampai kisah ‘projek kad pengenalan’ berulang sekali lagi,” katanya. – nasionalkini.my