in

Pok Ya lambang kegigihan nelayan Beserah

Gambar ihsan PKR Indera Mahkota

KUANTAN, 20 Mac – Kisah dua nelayan dari Beserah, dekat sini, yang hilang ketika keluar menangkap ikan pada 10 Mac lalu, sangat menakjubkan.

Zakaria Ramli dan Zahari Sidek, masing-masing berusia 59 tahun berjaya menyelamatkan diri selepas lebih 36 jam bertarung nyawa di laut.

Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Zuraidi Ismail meluangkan masa menyantuni Zakaria atau lebih dikenali Pok Ya dalam kalangan penduduk setempat baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, Pok Ya berkongsi pengalamannya hanyut dibawa arus selepas bot mereka rosak.

“Pok Ya menceritakan pengalaman survival di laut akibat enjin bot rosak, alat GPS gagal berfungsi serta berdepan angin kencang.

“Namun, Pok Ya memberitahu semua itu adalah asam garam sebagai nelayan.. dia cakap dua tiga hari lagi akan kembali ke laut mencari rezeki.

“Saya kagum dengan semangat Pok Ya dan rakan nelayan lain, cuma mampu nasihatkan mereka memastikan semua peralatan dalam keadaan baik sebelum keluar ke laut selepas ini,” kata Zuraidi melalui satu hantaran di Facebook.

Zuraidi turut mengakui berita Pok Ya dan rakannya itu selamat sangat melegakan semua pihak, terutama ahli keluarga mereka.

Dalam kejadian 10 Mac itu, bot dinaiki Pok Ya dan Zahari hanyut sebelum kedua mereka ditemui selamat di Tanjung Selangor, dekat Pekan, sehari selepas dilaporkan gagal dikesan.– nasionalkini.my

Agih kurma di Indera Mahkota

Kenapa isu beras putih tempatan sukar diselesaikan?