CAMERON HIGHLANDS, 28 Mac – Sudah sampai masa untuk semua pemimpin Melayu mencari jalan untuk menebus semula tanah rizab Melayu yang sudah terlepas ke tangan ‘orang lain’.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali menegaskan perkara penting ini perlu dilihat merentasi fahaman politik atau ideologi, tetapi lebih menumpukan kepada nasib orang Melayu Bumiputera.
“Dalam hal tanah rizab Melayu, elok kita buang dulu perbezaan politik, kalau tidak.. susah nak bekerjasama untuk bela nasib Melayu di tanah air sendiri.
“Saya fikir isu (penjualan) tanah rizab Melayu kepada bukan Bumiputera boleh dikawal dengan langkah seperti menubuhkan satu yayasan khusus untuk membeli dan menyimpan tanah berkenaan.
“Kita buat Yayasan Melayu Bumiputera Islam, di sini kita kawal urusan jual beli tanah, termasuk tanah rizab hanya untuk orang Melayu, Islam dan Bumiputera,” katanya.
Selain itu, dia juga berpandangan dana wakaf dimiliki Majlis Agama Islam setiap negeri juga boleh memainkan peranan.
“Mereka beli dan simpan tanah rizab Melayu agar tidak jatuh ke tangan pihak lain.
“Sebab kita tahu dana wakaf atau kutipan zakat dikumpul pihak majlis agama ini jumlahnya banyak.. jadi bolehlah digunakan untuk tujuan kebaikan umat Islam,” ujarnya.
Abdul Rasid juga mencadangkan agar semua yayasan diketuai orang Islam disatukan dan bersepakat dalam hal pemilikan dan pembelian tanah rizab Melayu.
“Yayasan ini digabungkan sebagai satu konglomerat besar dengan memiliki keupayaan kapital yang tidak terhad.
“Ini menjadikan konglomerat dianggotai yayasan tadi memiliki kemampuan kewangan yang kukuh.
“Jadi tidak ada masalah untuk beli tanah rizab Melayu yang ditawarkan di pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut meminta pemilik tanah rizab Melayu untuk mencari pembeli dalam kalangan Bumiputera dan tidak tergesa-gesa menjualnya kepada bangsa lain.
“Berdasarkan statistik, tanah rizab Melayu milik persendirian adalah paling banyak ‘terlepas’ ke pihak lain (bukan Bumiputera).
“Ini sangat merugikan dan susah untuk kita memperoleh semula tanah terbabit,” katanya.– nasionalkini.my