in

Harimau Malaya kena dua biji di Muscat

Gambar oleh Oman FA

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Skuad Harimau Malaya pulang dengan tangan kosong apabila tumbang 0-2 di tangan Oman pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan Gon hilang ‘takhta’ selaku pendahulu Kumpulan D apabila jatuh di tangga ketiga, meskipun berkongsi enam mata bersama Oman yang merampas takhta dan Kyrgyzstan di tangga kedua yang menambah tiga mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Taiwan.

Ini adalah kekalahan pertama skuad negara pada kempen kelayakan kali ini, namun Malaysia berpeluang menebus kembali kehampaan di Muscat apabila kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pada aksi terbabit, Oman yang menduduki ranking ke-80 dunia terlebih dahulu ‘panas’ apabila mendapat rentak dengan beberapa kali mengatur gerakan dalam 10 minit pertama namun tidak cukup untuk mengancam gawang gol yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi.

Peluang terbaik Oman hadir pada minit ke-13 menerusi tandukan Omer Al-Marki yang diselamatkan Ahmad Syihan sebelum bola pantas dikeluarkan pertahanan negara untuk sepakan sudut buat tuan rumah.

Gawang Malaysia terselamat pada minit ke-21 apabila Issam Al-Sabhi terlepas peluang meletakkan Oman di depan meskipun berjaya menewaskan Ahmad Syihan apabila percubaannya gagal menepati sasaran ketika pintu gol sudah ternganga.

Pintu gol Oman hanya diuji skuad negara selepas 30 minit menerusi rembatan jauh Stuart Wilkins namun diselamatkan Ibrahim Al-Mukhaini sebelum Ahmad Syihan cemerlang menepis percubaan Salah Al-Yahyaei seminit berselang.

Bersambung babak kedua, Oman mengekalkan intensiti sama apabila terus menguasai permainan dan Kompleks Sukan Sultan Qaboos gamat apabila Al-Sabhi meledak gol pembukaan pada minit ke-57 selepas menyudahkan hantaran Ali Sulaiman Al-Busaidi.

Malaysia yang menduduki ranking ke-132 dunia hampir mengikat kedudukan pada minit ke-60 namun Oman boleh dianggap ‘bernasib baik’ apabila tandukan Corbin Ong singgah di palang sebelum jaringan Paulo Josue pada minit ke-80 dibatalkan kerana ofsaid.

Hasrat Malaysia untuk memburu gol penyamaan semakin sukar apabila Oman menambah gol kedua menerusi Muhsen Saleh Al-Ghassani yang menampan masuk hantaran Al Busaidi pada minit ke-88.— nasionalkini.my

Kenapa isu beras putih tempatan sukar diselesaikan?

Penguatkuasaan lemah punca beras putih tempatan ‘hilang’