KUANTAN, 15 April – Tempoh konsesi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) wajar dikekalkan memandangkan kerajaan masih gagal mengatasi isu kekurangan beras di pasaran tempatan.
AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, langkah untuk menamatkan konsesi atau monopoli oleh BERNAS perlu diteliti sebelum keputusan muktamad diambil.
“Saya fikir dalam hal menguruskan beras import atau mengendalikan stok beras dalam negara, BERNAS memiliki kemampuan dan kepakaran.
“Jadi kenapa nak tamatkan (monopoli) jika kerajaan sendiri belum mampu menyelesaikan masalah (kekurangan bekalan beras) ini,” katanya.
Dia turut mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu sebenar yang berlaku hingga mencetuskan krisis bekalan beras putih tempatan dan kenaikan harga beras import sejak lebih setahun lalu.
“Melalui RCI ini, boleh kita kenal pasti punca masalah dan membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian.
“Kita bimbang ada pihak tertentu seperti taikun yang tamak mengambil kesempatan dalam kesulitan dihadapi rakyat.
“Selain itu, kita juga ingin mengetahui jika ada unsur penipuan dilakukan mana-mana pihak dalam hal ini,” jelasnya yang juga Ketua BERSATU Cameron Highlands.
Abdul Rasid berharap kerajaan Madani lebih serius dalam mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kepentingan rakyat.
Ujarnya, kegagalan berterusan dalam isu pengurusan bekalan beras dan pelbagai isu lain perlu diambil tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau tak mampu (selesaikan), eloklah dia (Anwar) letak jawatan… takkan nak biarkan rakyat menanggung segala kepayahan dan menunggu pilihan raya umum akan datang untuk menerima ‘hukuman’ daripada rakyat,” tegasnya.— nasionalkini.my