KUALA LUMPUR,23 Mei – Orang ramai digesa supaya menghentikan penyebaran video yang memaparkan proses membawa turun jenazah pendaki Everest, Awang Askandar Ampuan Yaacub.
Ketua Misi Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023), Azim Afif Ishak berkata, menjelaskan video yang tular di media sosial hari ini itu bukan proses membawa turun jenazah Awang Askandar.
Katanya, proses membawa turun jenazah Awang Askandar baru bermula pagi tadi dan dijangka tiba di kem dua pada malam ini sedangkan video tular itu mula tersebar sejak semalam.
“Kami tidak pernah berkongsi sebarang gambar jenazah kepada sesiapa ketika ini kerana tiada liputan Internet di kem empat sehingga kem dua selain hanya berhubung dengan Everest Base Camp (EBC) menerusi walkie talkie.
“Video tular itu mungkin proses membawa turun pendaki lain yang berdepan masalah kesihatan. Setakat ini, kami tidak menerima sebarang video proses membawa turun jenazah arwah daripada malim gunung,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua pihak menghentikan sebarang penyebaran video yang tular berkenaan terutama menghormati sensitiviti ahli keluarga Allahyarham yang masih dalam kesedihan.
Beliau kini bersama seorang pendaki ME 2023, Tiong Ling Yang, 30, dan pengurus pasukan, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, berada di EBC bagi menunggu ketibaan jenazah untuk di bawa ke hospital di Kathmandu bagi proses selanjutnya.
Katanya, proses membawa turun jenazah Awang Askandar pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut itu sepatutnya diadakan semalam namun disebabkan berdepan masalah cuaca terpaksa ditangguhkan ke hari ini.
Selain itu, keadaan salji setebal 0.30 meter di atas permukaan pergunungan menyukarkan malim gunung untuk bergerak kerana jenazah terpaksa dibawa turun secara manual menggunakan pengusung.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan seorang malim gunung sedang mengusung seorang pendaki yang ditutup sepenuh badan ketika menuruni Everest. – nasionalkini.my