KUALA LUMPUR,23 Mei – Pesakit mental dan individu berusia 70 tahun ke atas antara golongan yang dikecualikan daripada status bankrap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dua kategori baharu yang dicadangkan menerusi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 ketika membentangkan RUU berkenaan,
Pelepasan berkenaan dicadang melalui pengeluaran sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) tanpa melalui bantahan pemiutang.
Katanya, Fasal 8 memperuntukkan pindaan ke atas subseksyen 33B(2A) dengan memasukkan perenggan bagi menambah dua kategori berkenaan.
“Dua kategori itu adalah bankrap yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri akibat penyakit mental yang disahkan pakar psikiatri hospital kerajaan, serta individu bankrap berusia 70 tahun ke atas.
“Mereka perlulah pada pendapat dan pertimbangan KPI tidak lagi mempunyai keupayaan untuk memberi kerjasama dan sumbangan kepada pentadbiran kebankrapan.
“Faktor kepentingan awam juga perlu diambil kira memandangkan pentadbiran kebankrapan melibatkan dana awam yang perlu digunakan dengan optimum,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Azalina berkata, RUU berkenaan antara lain mencadangkan pelepasan secara automatik ke atas individu bankrap menerusi Fasal 9 bertujuan menambah baik di bawah Seksyen 33C Akta 360 yang diperkenalkan melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 (Akta A1534).
Ia bagi membolehkan individu bankrap terbabit dilepaskan daripada kebankrapan untuk tempoh singkat antara tiga hingga lima tahun yang dikira daripada tarikh pemfailan pernyataan hal ehwal bankrap.
“Namun setakat ini, tiada kes pelepasan automatik berjaya direkodkan kerana kesukaran untuk mematuhi syarat pembayaran sumbangan sasaran atas hutang yang diperakukan.
“Pindaan ke atas seksyen 33C bertujuan membantu individu bankrap dilepaskan secara automatik dalam tempoh berkenaan dengan meringankan syarat bayaran tanpa mengabaikan kepentingan pemiutang,” katanya. -nasionalkini.my