OLEH: AD Zafir
KUANTAN, 5 Julai – Kesemua jenazah tujuh sekeluarga yang ditemukan lemas dipercayai dihanyutkan kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Sabtu lalu, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, di sini, kira-kira pukul 11.50 malam tadi.
Mereka ialah Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 39, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.
Dianggarkan lebih 200 ahli keluarga, saudara, rakan serta penduduk Felda Lepar Hilir 3 hadir ke majlis pengebumian terbabit.
Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah tujuh beranak itu.
Terdahulu, setakat petang semalam mayat kelapan yang dikenal pasti sebagai Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui kira-kira jam 3 petang di kawasan beting jeram terbabit.
Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat kelapan itu ditemui berhampiran mangsa kedua yang ditemui kelmarin.
Katanya lagi, dua lagi mangsa belum ditemukan ialah Putri Nor Fatin, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24. – nasionalkini.my