in

Bantuan awal UTeM untuk Nabilah

MELAKA, 7 Ogos – Kesempitan hidup seorang pelajar baharu, Nabilah Zainuddin mendapat perhatian Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Pihak institusi pengajian tinggi itu menghulurkan bantuan awal kepadanya untuk memulakan pengajian.

Naib Canselornya, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pelajar itu menerima sumbangan berupa pembiayaan penuh yuran pengajian semester satu berjumlah RM914 serta elaun sara hidup RM500 sebulan.

Massila (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada Nabilah (tengah) di kediamannya di Alai, Melaka – Gambar oleh UTeM

Katanya, pembiayaan ditawarkan menerusi tajaan Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah pakej Anak Emas UTeM yang memilih pelajar dalam kategori susah, tetapi mempunyai latar pendidikan cemerlang.

“Nasib menimpa pelajar terbabit mendapat perhatian khusus daripada pihak UTeM dan kami dimaklumkan Nabilah telah mendapat tawaran pengajian Diploma Kejuruteraan Pembuatan, tetapi dia tidak mampu untuk memulakan pengajian kerana kesusahan hidup keluarganya.

“Bapa Nabilah, Zainuddin Hassan, 54, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak lagi dapat mencari rezeki kerana menghidap penyakit jantung dan telah menjalani pembedahan serta rawatan susulan di Institut Jantung Negara.

“Ibunya, Siti Noormasurah Ahmad yang berusia 49 tahun hanya bekerja sebagai pembantu kantin bagi membantu membiayai keluarga, tetapi dia turut berdepan dengan masalah kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nabilah berkata, bantuan yang diterima daripada UTeM memberikan sinar dan harapan baharu dalam merealisasikan impiannya menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan pembuatan, lapor KOSMO.

Menurutnya, dia berharap dapat membantu ekonomi keluarga ke arah yang lebih baik dengan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN https://www.nasionalkini.my/pendidikan/utem-sedia-terima-pelajar-rohingya/

Proses undi awal PRN esok

Diskaun istimewa jika pakai baju, pakaian tema Merdeka