in

UTeM sedia terima pelajar Rohingya

IMG 20230621 WA0005
Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 21 Jun – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terbuka untuk menerima etnik Rohingya yang layak untuk meneruskan pengajian mereka di universiti awam itu.

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin bagaimanapun berkata, masih banyak isu yang perlu dilihat sebelum memuktamadkan sebarang keputusan mengenainya.

Jelasnya, ia termasuklah mengambil kira pandangan semua pihak berkaitan terutama ibu bapa pelajar di universiti awam itu selain pelarian itu sendiri yang perlu melepasi syarat kelayakan.

“Tentunya UTeM akan melihat kelayakan mereka (etnik Rohingya) terhadap kelayakan sebelum membuat sebarang keputusan… kita tak mahu menimbulkan sebarang isu sensitif.

“Namun kita akan lebih (mengutamakan) soal keselamatan dan UTeM juga akan mengambil kira pandangan ibu bapa penuntut sedia ada di sini sama ada sesuai atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024 di Kampus Induk UTeM, di Durian Tunggal di sini.

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam dilaporkan berkata, kementerian itu tiada halangan untuk pelarian Rohingya diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan. – nasionalkini.my

Ayob Khan dilantik Timbalan IGP

Idris Jusoh lepas jawatan Pengerusi FELDA