IPOH, 7 Ogos – Dalam usaha menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan, seorang pesara yang mengusahakan kedai makan mencipta kelainan dengan menawarkan potongan harga hingga 20 peratus kepada pelanggan yang makan di premisnya di sini.
Namun, pelanggan itu perlu memenuhi syarat mengenakan baju dengan tema ketara – ‘Merdeka’ atau ‘Jalur Gemilang’.
Mohammad Zarilan Ellias, 60, berkata diskaun istimewa buat pelanggan Terengganu Corner yang terletak di medan selera di Jelapang itu juga diberikan kepada mereka yang lahir pada 31 Ogos pada setiap Ahad sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
Katanya, perkara itu adalah hasil cetusan ideanya sendiri yang mempunyai jiwa sebati dengan sejarah kerana pernah berkhidmat di Arkib Negara Malaysia selama 39 tahun.
“Saya baru bersara dan sepanjang perkhidmatan, saya terbabit dalam pelbagai program kemerdekaan termasuk di pejabat awam dan swasta, sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Jadi, saya mahu meneruskan legasi ini hingga ke akhir hayat untuk semarakkan semangat kemerdekaan di Perak, terutama bagi generasi muda,” katanya ketika ditemui Bernama di premis itu.- nasionalkini.my