in

Inspirasi silam di Café Banglo 1962

Pemilik bersama Café Banglo 1962, Zulaikha dan Nurul Jannah di hadapan kafe mereka yang terletak di persimpangan Permatang Badak, dekat Kuantan

SELESA, mesra pelanggan dan makanan yang lazat.

Tiga ciri utama diberi perhatian dua sahabat yang berani memperkenalkan ‘seni’ dalam menjamu selera.

Maka, terhasillah Café Banglo 1962 yang beroperasi dekat Permatang Badak, kira-kira 10 kilometer dari bandar raya Kuantan.

Zulaikha Mat Sot dan Nurul Jannah Md Fadillah sudah lama bersahabat, bahkan mereka pernah bersekolah bersama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom.

Antara menu tradisional disediakan di Café Banglo 1962

“Kiranya kami ni alumni sekolah itulah,” kata Zulaikha ketika ditemui nasionalkini.my baru-baru ini.

Dia dan Nurul Jannah bertemu semula bulan Ramadan lalu, selepas hampir 12 tahun tak bersua.

“Kami sibuk dengan kerja dan keluarga masing-masing, jadi memang dah lama tak berjumpa.

“Bila bertemu ketika bulan Ramadan lalu, Zulaikha ada menyatakan hasrat untuk ‘settle down’ dan pindah bermastautin di Kuantan,” kata Nurul Jannah.

Menu masakan Barat juga ditawarkan kepada pelanggan mereka

Mereka kemudiannya berbincang sebelum timbul idea untuk mengusahakan kafe itu.

“Kebetulan ada lot banglo di Permatang Badak yang diiklankan untuk disewa atau dijual.

“Jadi, kami fikir ini peluang untuk memulakan ‘kehidupan baru’ di tempat sendiri.

“Dari situlah muncul nama ‘Café Banglo 1962’-sempena tahun kelahiran bapa saya,” kata Zulaikha lagi.

Ditanya mengenai menu disediakan di situ, Zulaikha berkata, antara ‘signature’ menu mereka adalah Nasi Le-Mark Rendang Nismilan – inspirasi daripada ibunya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Deretan pelbagai jenis kuih tradisional Melayu disediakan untuk pelanggan Café Banglo 1962

“Selain itu, kita juga ada menyediakan minuman istimewa – Kashmir Massala Chai Tea hasil idea kawan kami yang kini menetap di India,” katanya.

Nurul Jannah pula memberitahu, idea untuk membuka kafe itu juga berdasarkan pengalaman Zulaikha yang sering menikmati minuman berasaskan kopi di kafe sekitar ibu negara sebelum ini.

“Lagipun di sekitar kawasan Permatang Badak, belum ada lagi kafe yang menawarkan konsep sama macam kami buat.

“Begitu juga dengan menu disediakan di sini, kita pelbagaikan dengan kuih tradisional Melayu, masakan Barat dan macam-macam lagi,” katanya.

Selain menyediakan pengalaman menjamu selera yang selesa, Café Banglo 1962 turut mempunyai ruang yang luas, kawasan letak kereta yang menyenangkan pelanggan dan sudut taman permainan untuk kanak-kanak.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan yang ingin mengadakan majlis istimewa seperti sambutan hari lahir atau ‘reunion’ bersama ahli keluarga mereka di sini,” ujarnya lagi.

Café Banglo 1962 beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 6 petang. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

USS Ronald Reagan tiba di Danang

Mohd Syuib anak yang baik