in

Muzium Pahang lancar buku ‘Budi Pujangga : Apabila Guru dan Murid Bertinta’

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 12 Sept – Muzium Pahang terus proaktif memperluaskan lagi peranannya dalam bidang pendidikan sebagai medium pembelajaran efektif dan interaktif dengan melancarkan sebuah buku bertajuk ‘Budi Pujangga : Apabila Guru dan Murid Bertinta’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist di sini, semalam.

Inspirasi penghasilan buku ini diilhamkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berhasrat agar Jabatan Pendidikan Negeri menghasilkan buku bercirikan warisan budaya Pahang.

Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal – Gambar oleh Muzium Pahang

Pengarah Perbadanan Muzium Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal berkata, menerusi titah berkenaan maka terjalin kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri dan Muzium Pahang bagi menghasilkan karya mengisahkan perjalanan penulisan puisi serta pengalaman berharga dirasai guru dan murid, khususnya berkaitan negeri Pahang.

“Selain menghimpunkan puisi-puisi yang menggambarkan keindahan bahasa dan kuasa kata-kata serta kekuatan perhubungan yang erat antara guru dan murid, buku ini mengandungi artikel-artikel penting berkaitan sejarah, seni dan warisan Pahang,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada nasionalkini.my ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku `Budi Pujangga’ dan Penubuhan Kelab Pendidikan Muzium Negeri Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hadir bagi merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Majlis pelancaran buku ‘Budi Pujangga’ dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Methodist Girl School Kuantan semalam – Gambar oleh Muzium Pahang

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan Pemangku Pengarah Pendidikan Pahang, Abdul Rahim Mohd Yunus

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya bercadang untuk meluaskan penubuhan kelab pendidikan Muzium Pahang ke sekolah di semua daerah di negeri ini.

“Penubuhan kelab ini bagi merealisasikan satu kelab yang dapat mendedahkan para pelajar dengan sejarah warisan negara, berpeluang menerokai ilmu di samping mengukuhkan jati diri masing-masing.

“Ini boleh dicapai apabila kita berjaya merealisasikan kelab pendidikan muzium di semua daerah, di sekolah-sekolah.

“Inisiatif ini adalah satu usaha yang sangat baik, ini kerana kita tahu generasi sekarang perlu didedahkan kepada sejarah, kalau tidak kita akan lupa sejarah di negara dan negeri kita,” kata beliau. -nasionalkini.my

Pogba positif doping

Raymond Goh meninggal dunia