SEJAK memulakan operasi awal Jun lalu, nama ‘Warong Tersorok’ yang terletak di FELDA Sungai Panching Selatan, dekat Kuantan, semakin menjadi bualan ramai.
Konsep ditonjolkan pemiliknya yang lain daripada yang lain, menjadi tarikan utama penggemar masakan tradisional, terutamanya masakan tradisional Pahang.
Bagi Datin Indera Dr Sharifah Nur’ Insyirah Saifuddin Shah, mereka bukan hanya ingin memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan, tetapi lebih penting ialah ruang untuk pengunjung mengenali lebih dekat suasana penempatan awal di kawasan tanah rancangan FELDA.

“Sebab itulah kami bina beberapa unit replika rumah mengikut reka bentuk awal rumah peneroka FELDA, secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada mereka merasai suasana kehidupan peneroka FELDA itu sendiri.
“Begitu juga dengan pilihan menu ditawarkan kepada pengunjung dan pelanggan, kita sediakan pelbagai masakan tradisional Pahang dan sajian kampung dengan menggunakan bahan terbaik untuk memberi kepuasan kepada mereka,” katanya.

Namun bukan setakat masakan tradisional Pahang disajikan di situ, tetapi pengunjung dan pelanggan juga boleh memesan masakan Utara dan Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api, daging salai dan siput sedut.
Turut ditawarkan kepada pelanggan adalah bermacam jenis kuih-muih tradisional Melayu.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, pengunjung atau pelanggan perlu membuat tempahan jika ingin menjamu selera di situ.
“Kami baru beroperasi dan tempat yang kami mampu sediakan buat masa ini adalah agak terhad, jadi saya fikir buat permulaan kita guna kaedah tempahan terlebih dahulu.
“Lagipun, kami ingin memastikan setiap pengunjung dapat menikmati masakan dan suasana di sini dengan selesa,” katanya lagi.
Syarifah Nur Insyirah berkata, waktu operasi tempat itu bermula jam 4 petang hingga jam 11 malam, dari hari Rabu hingga Isnin.

Warong Tersorok tidak beroperasi pada hari Selasa.
Selain dapat menikmati makanan dikelilingi kolam dan kebun, pihak pengurusan Warong Tersorok juga sedang dalam proses menyiapkan tapak untuk aktiviti berkhemah di situ.
“Pelanggan juga boleh membuat tempahan awal jika ingin mengadakan majlis perkahwinan atau sambutan hari lahir di sini atau mini reunion bersama ahli keluarga mereka,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan atau mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian 012 914 7374 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Selain itu, mereka juga boleh mengunjungi laman sosial Instagram https://instagram.com/warong_tersorok?igshid=NTc4MTIwNjQ2YQ== atau TikTok https://www.tiktok.com/@warong_tersorok?_t=8djNcKpVrAA&_r=1 bagi melihat sendiri keunikan dan keindahan ‘warung’ berkenaan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar raya Kuantan. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN