TIDAK banyak kedai menyediakan menu yong tau fu yang berbaloi untuk dinikmati di bandar raya Kuantan.
Namun kira-kira tujuh tahun lalu, pasangan suami isteri mencuba nasib dengan memulakan perniagaan itu.
Norzaridzal Mohamad Zawawi dan isteri, Hasnita Hanapi, hanya bermula di jalanan, di bawah kanopi hinggalah dapat membuka kedai yang lebih selesa.
“Ketika kita memulakan perniagaan ini, memang bawah kanopi saja dan Alhamdulillah, secara perlahan-lahan kami dapat mengumpul modal hingga mampu membuka kedai di sini,” kata Hasnita ketika ditemui wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Lebih 40 jenis yong tau fu disediakan setiap hari
Menceritakan pengalaman dia dan suami, Hasnita berkata, mereka memilih laman selera UMNO Kuantan sebagai tapak permulaan perniagaan pada 2016 sebelum berpindah ke tapak lain, di belakang Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Selepas tiga tahun beroperasi di belakang HTAA, kami berpindah sekali lagi ke lot kedai berdepan pasar raya Megamall, Jalan Tun Ismail.
“Kini, kedai ‘Yong Tau Foo Terbaik Kuantan’ beroperasi di bangunan kedai belakang pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Dato’ Wong Ah Jang, dekat Taman Teratai, sejak awal bulan ini,” katanya lagi.
Hasnita memberitahu, dia dan suami memilih perniagaan yong tau fu untuk meneruskan legasi atau warisan ibunya, Normalina Abdullah.
Katanya, masakan ibunya sangat terkenal di sekitar Kemaman dan Balok satu ketika dulu dan memiliki restoran sendiri.
“Jadi saya cuma nak teruskan legasi ibu dan kami pun memang suka berniaga,” katanya.
Terdapat lebih 40 jenis hidangan yong tau fu disediakan di kedai miliknya itu untuk dipilih pelanggan.
Bagi peminat yong tau fu, bolehlah singgah di ‘Yong Tau Foo Terbaik Kuantan’ untuk menikmati makanan istimewa itu.
Kedai milik Hasnita dan Norzaridzal dibuka setiap hari dari jam 4.30 petang hingga jam 11.30 malam.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN