in

Mohd Syuib anak yang baik

Kakak Mohd Syuib Bidin, Noraziah Bidin menunjukkan gambar arwah adiknya

Oleh Luth Adwa

SEGAMAT, 26 Jun – Jurulatih anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Koperal Udara (U) Mohd Syuib Bidin, 33, yang meninggal dunia selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Negeri Sembilan semalam adalah anak yang baik dan mesra dengan saudara-mara serta penduduk kampung di sini.

Arwah adalah anak bongsu daripada empat adik beradik meninggalkan isteri berusia 30-an dan dua anak, masing-masing berusia tiga tahun dan setahun.

Seorang saudaranya, Kamaruddin Yusof, 51, berkata, mereka terkejut apabila dimaklumkan berita sedih itu kira-kira jam 6 petang semalam.

Bagaimanapun katanya, mereka reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya sekeluarga mengetahui kejadian ini selepas dihubungi saudara terdekat, pada jam 2.15 petang.

“Kejadian itu amat mengejutkan kami sekeluarga dan sebaik menerima berita itu, saya bersama beberapa keluarga terdekat terus bertolak dari Kuantan ke Hospital Segamat.

“Saya tidak menyangka Mohd Syuib meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Segamat di sini.

TUDM mengesahkan seorang jurulatih yang terbabit dalam insiden letupan bom lempar semasa latihan di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, meninggal dunia petang semalam.

Markas Tentera Udara memberitahu, Allahyarham Mohd Syuib yang merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan di sini meninggal dunia pada pukul 5.45 petang semalam di Hospital Segamat, Johor ketika diberikan rawatan akibat kecederaan parah yang dialami. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Inspirasi silam di Café Banglo 1962

Jurulatih cedera insiden bom lempar stabil