KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Seorang pembantu kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu hari ini bagi membantu siasatan berhubung menyalahguna kuasa.
Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 50-an itu disyaki meluluskan pengeluaran dana kebajikan kesatuan kakitangan PBT itu untuk kegunaan peribadi melibatkan amaun keseluruhan hampir berjumlah RM200,000.
“Suspek yang juga bendahari kesatuan terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu dalam dari tahun 2017 hingga 2020 melibatkan lebih 30 transaksi.
“Dia ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada pukul 12.30 tengah hari tadi,” katanya.
Sumber SPRM itu berkata, suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok untuk permohonan reman.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – nasionalkini.my