KUANTAN, 14 Ogos – Poster tular di media sosial kononnya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertikaikan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah palsu.
Wan Rosdy berkata, tindakan menyebarkan poster itu adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang cuba memecahbelahkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, perbuatan itu juga turut mencalar imejnya sebagai Menteri Besar Pahang.
“Gabungan BN dan PH di Pahang masih kukuh dalam mentadbir negeri Pahang sehingga hari ini.
“Cukup-cukuplah berpolitik, hentikan perbuatan menyebar fitnah kebencian yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat, ” katanya melalui satu kenyataan media di sini, hari ini.
Petang tadi, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kelapan.
Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini kira-kira jam 4.15 petang.
Keputusan PRN Negeri Sembilan pada Sabtu menyaksikan gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 31 kerusi iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN manakala PN, lima kerusi.- nasionalkini.my