Oleh : Adnan Mohamad
BESUT, 21 Mei – Seorang lelaki dipercayai tertembak rakan sendiri ketika memburu pelanduk di hutan Rasul, Keruak, Hulu Besut, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, berikutan kejadian berkenaan pihaknya telah menahan suspek berusia 38 tahun tertembak mangsa, seorang buruh untuk siasatan selanjutnya.
Kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi selepas mereka terpisah di hutan itu sebelum lelaki terbabit tertembak mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa adalah rakan baik masuk ke hutan untuk memburu pelanduk menggunakan selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri bagi tujuan memburu.
” Ketika dalam perjalanan pulang, suspek mendakwa tertarik picu senjata api itu yang masih berisi peluru menyebabkan peluru itu terkena mangsa yang berada di belakangnya, ” katanya.
Abdul Rozak berkata, akibat tembakan mangsa yang berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian dada,leher, lengan dan perut dan di dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun katanya mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

Susulan kejadian tersebut, polis menahan suspek selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai tidak menggunakan atau memiliki senjata yang boleh membahayakan sama ada buatan sendiri atau senjata api tanpa permit. – nasionalkini.my