in

Ada suspek kes Wang Kelian sudah mati

IMG 20230623 093320 800 x 500 pixel
Kebanyakan mangsa sindiket pemerdagangan manusia adalah pelarian etnik Rohingya - Gambar oleh Agensi

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sebahagian daripada enam suspek yang dikehendaki Malaysia susulan penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis yang bersempedan dengan Thailand pada Mei 2015 sudah meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Pol Jen Surachate Hakparn, berkata beberapa suspek meninggal dunia ketika menjalani hukuman di penjara negara itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan angka sebenar suspek yang sudah meninggal dunia.

“Sebahagian suspek telah meninggal dunia ketika menjalani hukuman di penjara.

“Seorang atau dua lagi akan menamatkan hukuman penjara dan bakal diekstradisi ke Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Terdahulu, empat warga Thailand yang diekstradisi ke negara ini berkaitan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar di Wang Kelian pada 2015, didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar di Perlis hari ini.

Empat warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan terbabit penyeludupan migran di Wang Kelian, Perlis – Gambar oleh Bernama

Selain empat suspek itu, Polis Malaysia masih mengesan lagi warga Thailand dan seorang warga Bangladesh untuk diekstradisi ke negara ini kerana disyaki terbabit kes sama.

Setakat ini, enam individu berkenaan berada dalam senarai ‘notis merah’ INTERPOL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Diraja Thailand (RTP) untuk membolehkan mereka dibawa ke negara ini bagi tujuan pertuduhan.

Dalam pada itu, Surachate berkata warga Thailand yang disyaki terbabit dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian itu akan diekstradisi ke Malaysia sebaik mereka selesai menjalani hukuman penjara di sini.

Beliau berkata, Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Thailand terhadap 10 individu pada 2017, dengan empat daripadanya sudah diekstradisi ke Malaysia semalam dan menghadapi pertuduhan hari ini.

Sementara itu, Surachate berkata kerjasama erat kedua-dua negara menunjukkan Thailand dan Malaysia komited memerangi pemerdagangan manusia dan jenayah transnasional.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

IMG 20230624 084139 800 x 500 pixel

Beras import dijangka naik harga

IMG 20230624 102703 800 x 500 pixel

Cara ‘healing’ bersama lempeng kelapa, 40 jenis minuman