in

Suspek jual bintang, lencana darjah kebesaran Pahang sudah ditahan

Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN, 21 Ogos – Dua lelaki tempatan berumur 40 dan 52 tahun ditahan kerana disyaki terbabit menjual bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata dua individu masing-masing ditahan di Puchong, Selangor dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu.

Katanya, mereka ditahan reman selama empat hari dari 9 hingga 12 Ogos lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kita turut merampas beberapa barang kes termasuk lambang dan pelekat darjah kebesaran daripada dua lelaki tempatan itu.

“Polis kini sedang melengkapkan siasatan dan jika sabit kesalahan, kita akan membuat pertuduhan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam, hari ini.

Sebelum ini, Noor Hisam Nordin adalah Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Pada 11 Julai lalu, polis Pahang menyiasat kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Kegiatan penjualan itu dikesan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan menerima laporan dan siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

Yahaya dalam kenyataan sebelum ini berkata, semua pihak tidak dibenarkan memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka tanpa kebenaran.

Difahamkan, penjualan darjah kebesaran itu berlangsung selama seminggu di platform e-dagang sebelum ia ditutup disebabkan tular di media sosial.- nasionalkini.my

OPR kekal 3.0 peratus

10 pakar penerbangan AS lawat lokasi nahas Elmina