in

Cara ‘healing’ bersama lempeng kelapa, 40 jenis minuman

Selain menyediakan menu lempeng kelapa, D' Ambang Sore Batu Tenggek Lempeng Kelapa turut menawarkan 40 jenis minuman kepada pelanggan mereka

Oleh Yusuf Shafie

SETELAH penat bekerja sepanjang minggu, peluang menikmati lempeng kelapa dan hidangan panas lain di warung kayu dalam ceruk kampung sambil melihat panorama matahari terbenam pastinya menjadi saat paling bermakna.

Deruan ombak menghempas pantai disusuli bunyi daun pohon nyiur bergesel menjadi hidangan halwa telinga cukup mendamaikan.

Semua ini boleh dirasai di warung kampung dalam ceruk kampung, D’ Ambang Sore Batu Tenggek Lempeng Kelapa, Tanjung Bidara, dekat Masjid Tanah, Melaka.

Warung ini sudah beroperasi hampir 14 tahun lalu.

Bermula dengan warung kecil tempat nelayan berehat sambil menikmati lempeng panas-panas setelah pulang dari laut, siapa sangka, warung diusahakan pasangan suami isteri, Salinah Sulaiman, 53, dan Muhammad Ridzuan Ghani, 55, kini semakin dikenali pengunjung dari seluruh negara.

Pelanggan boleh memilih untuk menikmati hidangan yang mereka pesan di luar kedai sambil melayan deruan ombak

“Kalau 14 tahun lalu, warung ini hanyalah tempat lepak nelayan minum petang sambil pekena lempeng panas.

“Lama-kelamaan, tak sangka pula semakin ramai pelanggan datang, mungkin kerana kedudukannya di hujung kampung dan mengadap Selat Melaka.

“Sambil makan, sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam.

“Kebetulan pula, terdapat dua batu besar di tengah pantai yang seolah-olah sedang bertenggek, sebab itulah suami namakan kedai ini D’ Ambang Sore Batu Tenggek Lempeng Kelapa,” kata Salinah ketika ditemui nasionalkini.my di sini.

Warung itu beroperasi setiap hari, kecuali Isnin bermula pukul 5 petang hingga 11.30 malam.

Pengalaman menyaksikan matahari terbenam di Selat Melaka pastinya memberi ketenangan kepada pelanggan D’ Ambang Sore Batu Tenggek Lempeng Kelapa dekat Masjid Tanah, Melaka

Kini anaknya, Haziq Muhammad Ridzuan, 25, menguruskan warung itu.

Selain lempeng kelapa, pelbagai lagi menu disediakan, termasuk masakan goreng dan kambing bakar.

Tidak cukup dengan itu, terdapat lebih 40 jenis minuman ditawarkan termasuk air buah, selain hidangan western, sotong dan udang celup tepung yang tentunya tidak mengecewakan pelanggan.

Kalau rasa tak mahu duduk di bawah warung kayu, boleh sahaja pilih tempat di luar, sama ada bawah pokok kelapa ataupun meja batu mengadap pantai.

Selesai menjamu selera, pelanggan berpeluang untuk turun ke pantai melalui laluan bertangga disediakan bagi melepaskan ‘gian’ – basahkan kaki dan merasai gebunya pasir pantai.

Tapi jangan pula terleka menikmati saat-saat ‘healing’ di situ sampai terlajak bermandi-manda atau pasang khemah kerana ianya tak pernah dibuat dek orang! – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Ada suspek kes Wang Kelian sudah mati

Demi minat sanggup tinggal kerjaya lumayan