TASEK GELUGOR, 3 Ogos – Polis menahan seorang pekerja ladang yang disyaki membakar isterinya sehingga mengalami kecederaan parah dalam kejadian di kawasan perumahan ladang kelapa sawit, di sini, Isnin lalu.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota di sebuah kawasan di Nibong Tebal, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok untuk perintah tahanan reman.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita melecur 27 peratus di anggota badan selepas suaminya didakwa menyimbah petrol lalu membakar mangsa yang berusia 35 tahun.
Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku hanya kerana perselisihan faham membabitkan keluarga.
Susulan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mohd Asri sebelum ini dilaporkan berkata, suspek ketika itu bertindak melarikan diri apabila menyedari api pada badan mangsa semakin merebak.
“Mangsa sempat meminta bantuan anak lelakinya mengambil air untuk memadamkan api berkenaan.
“Remaja lelaki itu mengambil air dan memadamkan api pada badan mangsa sebelum meminta bantuan daripada jiran untuk menghubungi pihak polis,” katanya lapor BH.
Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lalu termasuk pernah mencederakan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.- nasionalkini.my