in

Warga Thailand didakwa hari ini kes pemerdagangan manusia

Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan kem dan kubur dipercayai aktiviti pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis pada 2015 - Gambar oleh Bangkok Post

KANGAR, 23 Jun – Empat lelaki warga Thailand yang diekstradisi ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan pemerdagangan manusia di Wang Kelian pada 2015 tiba di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.

Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 8.10 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis dari Unit Tindak Khas (UTK) Polis DiRaja Malaysia serta anggota polis lain, lapor BH.

Sumber mahkamah memberitahu, tertuduh berusia antara 30 hingga 58 tahun.

Keempat-empat tertuduh dijangka akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta A1644)

Ini adalah kali pertama dalam tahun ini kes berkenaan akan diperdengarkan semula selepas Thailand mengekstradisi keempat-empat warganya ke negara ini bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Kebanyakan mangsa sindiket pemerdagangan manusia adalah pelarian etnik Rohingya – Gambar oleh Agensi

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand sudah menjalankan siasatan untuk mengesan dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab susulan penemuan kem dan kubur dipercayai aktiviti pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Hasil siasatan yang dijalankan, kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand ke atas sepuluh individu warganegara Thailand pada 6 Januari 2017 yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Sepanjang tempoh lebih enam tahun kebelakangan ini juga, kedua-dua negara berusaha mengesan kesemua individu terbabit bagi melaksanakan proses ekstradisi.

Hasil kerjasama kedua-dua negara itu, empat daripada sepuluh individu berjaya dikesan dan dihadapkan ke Mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

Selain itu, ekstradisi ini dilaksanakan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan pada 30 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Thailand akhirnya mengeluarkan perintah penahanan ke atas keempat-empat individu berkenaan untuk diserahkan kepada Malaysia bagi menjalani perbicaraan berhubung kes berkenaan di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini. – nasionalkini.my

Pasangan suami isteri terperangkap akibat air pasang

SKMM ambil tindakan terhadap Meta