in

Skuad B-23 pilih jalan berliku

Gambar oleh FAM

KUALA LUMPUR, 13 September – SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara masih belum selamat untuk ke Piala Asia B-23 2024 selepas tewas 1-0 di tangan Thailand pada aksi kelayakan di Stadium Chonburi, malam tadi.

Harimau Muda perlu mengharapkan keputusan perlawanan lain berpihak kepada mereka jika mahu berada dalam kelompok empat naib juara bagi mendapat slot ke pusingan akhir di Qatar.

Pada aksi di depan penyokong skuad Thailand, Malaysia dilihat lebih banyak mengawal permainan namun gagal memanfaatkan peluang untuk merobek gawang pasukan lawan.

Sebaliknya, Malaysia hanya mampu mempertahankan gawang selama 20 minit apabila tandukan Yotsakon Burapha menewaskan Sikh Izhan Nazrel untuk gol pembukaan tuan rumah.

Ia gol pertama dibolosi skuad negara selepas tidak melepaskan sebarang gol dalam dua perlawanan terdahulu ketika menentang Bangladesh dan Filipina.

Aksi babak kedua menyaksikan Malaysia melancarkan serangan namun bergelut melakukan sebarang percubaan tepat.

Thailand berjaya bertahan dengan kelebihan satu jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus mara ke pusingan akhir selaku juara Kumpulan H.

Sebagai rekod, hanya 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik selain tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 tahun depan.

Saingan Piala Asia B-23 memberikan slot untuk ke Sukan Olimpik 2024 bagi tiga pasukan terbaik sementara pasukan keempat terbaik akan mengharungi aksi play-off menentang pasukan dari Konfederasi Bolasepak Afrika.- nasionalkini.my

Persatuan pengguna saman Google

MUDA patut serah semula DUN Puteri Wangsa