in

Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kolej Thailand

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Thai Global Business Administration Technological College (TGBC), Thailand, secara rasmi menubuhkan Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasakan Bahasa Melayu di rantau ini.

Pejabat bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penubuhan kursi terbabit diumumkan Pengarah TGBC, Dr Prattana Srisuk, pada satu majlis di Bangkok, semalam.

“Kursi itu khusus untuk memperkenal serta mempromosikan pengajian Bahasa Melayu dan ketamadunan Melayu di kolej terbabit dan di Thailand,” menurut kenyataan media, lapor Bernama.

Difahamkan, ia adalah kursi pertama di institut pengajian tinggi di Thailand yang khusus untuk pengajian dan penyelidikan ketamadunan Melayu dan bahasa Melayu.

Sementara itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada TGBC kerana mengiktiraf usaha memartabatkan bahasa Melayu di rantau ini.

Bekas Perdana Menteri itu berharap penubuhan kursi berkenaan akan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di negara berkenaan.

“Bahasa Melayu mempunyai kira-kira 300 juta penutur di rantau Asia Tenggara.

“Di Thailand juga tidak asing. Majoriti penduduk di selatan Thailand boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

“Saya berharap usaha ini akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN,” katanya.- nasionalkini.my

Agong, Permaisuri berkenan jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’

Tugas sukar Isaiah satukan OKU