KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Pemain tengah Domagoj Pusic muncul pemain pertama mengucapkan selamat tinggal kepada Terengganu FC (TFC) musim ini.
Pemain kelahiran Croatia yang mirip wajah penyerang Perancis, Karim Benzema dilepaskan secara rasmi hari ini berikutan masalah prestasi hingga kerap memanaskan bangku simpanan.
Pemain berusia 32 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama rakan senegaranya, Ivan Mamut namun dia belum pasti destinasinya selepas ini sama ada pulang ke negara asalnya atau beraksi dengan pasukan lain di negara ini.
Pengesahan itu bermakna pemain yang sudah membuat 11 penampilan bersama TFC musim ini, kali terakhir diturunkan ketika seri 3-3 dengan Kuala Lumpur City minggu lalu.
“Pemain tengah Terengganu FC, Domagoj Pusic secara rasminya dilepaskan oleh kelab hari ini.
“Pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan bersama kelab sebelum ini dan selamat maju jaya dengan pasukan baharu nanti,” menurut kenyataan rasmi kelab dalam laman sosial, lapor BH.
Masa depan bekas pemain B-20 Croatia itu mula diperkatakan di laman sosial selepas TFC mengikat pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov Selasa lalu.
Selain Pusic, difahamkan beberapa lagi pemain import dan tempatan TFC akan dilepaskan atau dipinjamkan ke pasukan lain.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN