in

Terengganu belasah Kelantan United

IMG 20230809 003818 800 x 500 pixel
Terengganu FC menewaskan Kelantan United FC 4-1 di Kota Bharu, malam tadi

KOTA BHARU, 9 Ogos – Terengganu FC terus ceria apabila menjadikan Kelantan United Football Club (KUFC) mangsa terbaru apabila membenam tuan rumah itu 4-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Seawal empat minit sepak mula, pelawat nyaris membuat kesilapan apabila Muhammad Safwan Mazlan melorong bola ke gawang sendiri namun kepantasan Mohd Suhaimi Husin berjaya menendang keluar bola,lapor BH.

Seminit kemudian, KUFC menguji gawang lawan menerusi libasan separuh badan, Deok Kim namun tersasar.

Terengganu membalas menerusi percubaan Nurillo Tukhtasinov yang melakukan rembatan kaki kiri namun melepasi tiang gol.

Anak buah Tomislav Steinbruckner akhirnya mendahului menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Ivan Mamut pada minit ke-28 berikutan Muhamad Hafiy Haikal Ismail menghadang rembatan Sony Norde menggunakan tangan.

Memasuki babak kedua, Norde menggandakan gol pada minit ke-72 manakala pemain gantian, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim membuat lencongan cantik menewaskan Mohd Shahril Saari untuk gol ketiga skuad penyu pada minit ke-83.

Kegembiraan Terengganu sedikit terencat apabila pemain import, Ismaheel Akinade melakukan rembatan jarak dekat untuk gol tunggal KUFC.

Pada minit akhir masa tambahan, Mohd Hakimi Abdullah menoktahkan kemenangan pelawat dengan menyepak mudah bola untuk gol keempat pelawat.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

https://www.nasionalkini.my/sukan/kelantan-united-tewas-tipis-kepada-nsfc/

IMG 20230809 002610 800 x 500 pixel

Selangor tewaskan KL City

IMG 20230809 004844 800 x 500 pixel

Ifedayo bantu Kedah atasi Sri Pahang