Oleh AD Zafir
KUANTAN, 13 Julai – Polis membuka kertas siasatan berhubung kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran Pahang dalam platform e-dagang tanpa kebenaran.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, siasatan dijalankan susulan satu laporan polis diterima berhubung aktiviti itu pada 11 Julai lalu.
Katanya, operasi khas akan dilakukan bagi mengesan pihak terbabit, termasuk penjual, pembeli dan pengguna ’emblem’ darjah kebesaran itu pada kenderaan tanpa kebenaran.
“Kita dapati set bintang dan lencana darjah kebesaran itu hanya ditawarkan pada harga kira-kira RM1,000.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
“Sabit kesalahan boleh didenda berdepan tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Yahaya berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pihak polis menasihatkan semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang itu.
“Mana-mana individu yang memasang atau melekatkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada kenderaan tanpa kebenaran dinasihatkan agar menanggalkan segera bagi mengelak dikenakan,” tegasnya.- nasionalkini.my