SELAYANG, 13 Julai – Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Nasional Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 meningkat 0.03 mata kepada 2.82, berbanding 2.79 tahun lalu.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata ia sekali gus mencatatkan PNGK Nasional tertinggi sejak STPM dilaksanakan.
Beliau berkata, seramai 1,184 atau 2.84 peratus calon mendapat PGNK 4.00 dengan jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 310 pelajar, manakala 85.22 peratus daripadanya terdiri daripada golongan B40, lapor BH.
Selain itu, katanya, peratusan longgokan calon STPM 2022 pada PGNK 3.75 dan ke atas ialah 9.59 peratus, diikuti PGNK 3.00 ke atas dan lebih (42.96 peratus); PGNK 2.75 dan ke atas (56.97 peratus) serta PGNK 2.00 ke atas (89.75 peratus).
PNKG calon dalam suatu peperiksaan STPM dihitung berdasarkan purata nilai gred empat subjek terbaik, termasuk Pengajian Am.
“Seramai 38 calon peperiksaan STPM 2022 mendapat 5A dalam kelima-lima subjek, manakala 1,158 lagi menerima 4A dengan jumlah ini mencatatkan peningkatan berbanding 860 calon, pada 2021.
“Seramai 26 calon STPM 2022 yang mendapat 5A dalam kelima-lima subjek terdiri daripada golongan B40, manakala 993 calon yang menerima 4A juga berada dalam kategori sama,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di sini, hari ini.- nasionalkini.my