MARANG, 12 Ogos – Perikatan Nasional (PN) menang semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kiraan tidak rasmi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selain satu kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Setakat jam 10.45 malam ini, PN merealisasikan impian menawan semua DUN dan tambahan satu kerusi Parlimen.
Beberapa kubu kuat Barisan Nasional (BN) juga mampu ditembusi PN melalui gelombang hijau dan sokongan golongan muda, lapor BH.
Selain itu sokongan perantau yang pulang juga menyumbang kepada kemenangan besar PN di Terengganu.
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi manakala bakinya dimenangi BN.
Namun, PRN kali ini PN berjaya menyapu bersih kesemua kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen yang dipertandingkan semula selepas mahkamah membatalkan kemenangan Datuk Amzad Hashim pada PRU15, November lalu.- nasionalkini.my