KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kuala Lumpur (KL) City dan Terengganu FC (TFC) sekali lagi berkongsi mata apabila terikat 3-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
TFC mendahului pada minit ke-28 menerusi jaringan Omid Nazari sebelum pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco menyamakan kedudukan lapan minit kemudian.
KL City memasuki bilik persalinan dengan lebih selesa selepas Paulo Josue dan Romel Morales menyumbang gol pada minit ke-42 dan masa kecederaan untuk City Boys menutup babak pertama dengan mendahului 3-1.
Skuad Penyu bagaimanapun tampil dengan permainan lebih kemas pada babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan bekas pemain Selangor, Nor Hakim Hassan pada minit ke-50.
Jaringan itu jelas menaikkan lagi semangat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk bangkit memburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila Ivan Mamut menyudahkan umpanan Engku Nur Shakir Engku Yacob sembilan minit kemudian.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun buntu untuk menambah jaringan dan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
Sementara itu, Perak melepaskan peluang meraih kemenangan ketiga musim ini apabila terikat 1-1 dengan Kelantan United di Stadium Perak, Ipoh.
Skuad kendalian Yusri Che Lah bermula baik apabila hanya memerlukan sembilan minit untuk berada di depan hasil ledakan Sunday Afolabi.
Mereka dikecewakan dengan jaringan penyamaan Kelantan United menerusi Indra Putra Mahayuddin yang menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-84.
Keputusan itu menyaksikan Perak berada di tangga ke-11 dengan mengumpul 10 mata selepas mengharungi 16 perlawanan manakala Kelantan United yang menghimpun tujuh mata di kedudukan ke-12.- nasionalkini.my