PENGALAMAN luas dalam bidang masakan tidak pernah menjadikan Ariffin Minggu seorang yang sombong.
Dia yang lebih mesra dipanggil Cef Der, sentiasa terbuka untuk berkongsi rahsia masakan, terutamanya kuih tradisional Melayu yang sukar ditemui ketika ini.
Anak kelahiran Terengganu berusia 54 tahun itu juga pernah menjadi perhatian selepas resipi nasi dagang ‘frozen’ ciptaannya mendapat pujian pelbagai pihak.
Dia sering menjadi tetamu undangan program masakan di kaca televisyen dan juga majalah terkenal di Malaysia.
“Pernah jugalah saya terbang ke Australia, Singapura dan London untuk mempromosikan masakan Terengganu.
“Semua ini adalah pembakar semangat untuk saya menyumbangkan kembali kepada masyarakat dengan berkongsi kemahiran yang saya ada,” katanya kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Dia berpengalaman bekerja di beberapa hotel ternama di Terengganu dan lokasi lain di seluruh negara.
Selain masakan tradisional Terengganu, Cef Der juga mempunyai kepakaran dalam menyediakan pelbagai jenis kuih tradisional Melayu.
Antaranya ialah Emas Sejemput,Jala Emas,Emas Putih,Tok Haji Serban,Che Abang Deman,Keang dan berbagai lagi.
“Semua jenis kuih ini dah jarang orang jumpa dan tak ramai yang tahu cara membuatnya.
“Sebab itulah saya sedia berkongsi ilmu yang ada dengan sesiapa saja yang berminat,” katanya lagi.
Dia memaklumkan, pihak yang ingin menganjurkan kelas memasak atau pembuatan kuih tradisional Melayu boleh menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-9624544 untuk sebarang pertanyaan.- nasionalkini.my