in

JDT lancar JDT Fans Token

Barisan pemain kelab bola sepak JDT hadir ketika melancarkan JDT Fans Token di sebuah pusat membeli belah di Johor Bahru

Oleh Luth Adwa

JOHOR BAHRU, 6 Julai – Bagi menghargai penyokongnya, Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan JDT Fans Token yang boleh dimiliki dengan harga serendah 1USD bagi setiap satu.

Ia boleh dipindah milik dan nilai token itu mungkin akan meningkat pada masa akan datang.

JDT adalah kelab pertama menggunakan Fans Token di Malaysia.

Token seumpama itu turut diperkenalkan kelab tersohor di Eropah seperti AC Milan, Paris Saint Germain (PSG), Arsenal, Juventus dan lain-lain.

Ketua Unit Komersil JDT, Kevin Ramalingam berkata, ini adalah cara JDT menghargai penyokong kelab dengan mengambil bahagian dalam keputusan yang diambil selain menerima keistimewaan lain yang ditawarkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, menerusi pemilikan token itu, penyokong JDT dapat menyuarakan pendapat mereka menerusi undian yang akan dibuat menerusi platform Socios.com.

Katanya, ia adalah cetusan idea Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab yang sudah menjangkau usia 10 tahun dan terus berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Menerusi pemilikan token ini, penyokong dapat membuat undian nama yang akan tertera di belakang jersi pemain sebagai contoh Arif Aiman Hanapi di mana menerusi undian penyokong memilih nama yang tertera di belakang pemain sayap JDT itu adalah Arif' selain undian untuk pemain itu melakukancelebration’ jika menjaringkan gol.

“Mungkin selepas ini, kita akan mẹmbuat undian apa nombor jersi yang akan dipakai Arif Aiman dan sebagainya.

“Perkara ini akan mendekatkan penyokong dengan kelab, mereka ada kuasa memutuskan perkara ini dan merasakan mereka sebahagian penting kepada JDT,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran JDT Fans Token di pusat beli belah Toppen di sini. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

PM setuju cadangan pengeluaran KWSP berkala

Suspek cekik adik hingga mati direman 7 hari