KUALA LUMPUR 6 Julai – Kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjadikan pilihan pengeluaran pencarum secara berkala atau bulanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, perkara itu masih di peringkat akhir selain melihat beberapa kekangan termasuk jumlah baki simpanan semasa pencarum.
“Perkara itu masih berada di peringkat akhir, saya tiada keberatan.
“Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ada bercakap kepada saya terdapat beberapa kekangan terutama simpanan terlalu kecil,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) di ibu negara hari ini.
Semalam, Amir Hamzah memaklumkan, KWSP tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.
Ujarnya, pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Bagaimanapun tegasnya, pelaksanaan secara mandatori itu memerlukan kajian lebih teliti dan perbincangan lanjut dengan kerajaan. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN