OLEH AD Zafir
KUANTAN, 22 Jun – Seorang warga emas kerugian RM79,992 selepas dipercayai ditipu oleh sindiket panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Selasa lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, hasil siasatan awal, wanita berusia 72 tahun itu telah dimaklumkan oleh suspek terdapat permasalahan berkaitan kad kredit miliknya.
“Suspek mendakwa kad kreditnya digunakan untuk urusniaga penyeludupan dadah di luar negara. Kemudiannya, suspek meminta maklumat perbankan mangsa sekali gus mengaktifkan perbankan secara dalam talian bagi akaun tersebut.
“Setelah beberapa lama kemudian mangsa telah menerima beberapa SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) transaksi pemindahan wang dari akaun miliknya. Susulan itu, mangsa mendapati duit miliknya lesap hingga mengalami kerugian sebanyak RM79,992,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, setelah mendapat wangnya hilang satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah, Kuantan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. – nasionalkini.my