KUANTAN, 18 Mei – Seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini kerugian lebih RM2.5 juta selepas wang simpanan dalam dua akaun banknya lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai ejen insurans.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa wanita berusia 52 tahun itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah syarikat insurans pada 22 Januari lalu.
“Mangsa diperdaya kononnya terlibat dengan tuntutan insurans palsu dan penggubahan wang haram dan diarah membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun itu untuk tujuan siasatan.

“Bimbang hukuman berat yang bakal dihadapi, mangsa akur dengan arahan suspek apabila membuka akaun bank seperti diarahkan dan memindahkan wang dari simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan simpanan lain ke dalam akaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas semua wangnya dipindahkan, mangsa diarah memberi maklumat perbankan miliknya beserta gambar kad bank dan kata laluan.
“Mangsa menyedari telah ditipu apabila mendapati wang dalam akaun banknya lesap dan suspek gagal dihubungi bagi menuntut semula wang berjumlah lebih RM2.5 juta itu,” katanya. – nasionalkini.my