Oleh AD Zafir
KUANTAN, 13 Jun – Gara-gara takut didakwa atas kesalahan membabitkan penghantaran barang terlarang dan pengubalan wang haram, seorang warga emas dan penjawat awam akhirnya kerugian sehingga RM195,200 akibat tipu daya sindiket ‘phone scam’.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terpedaya dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah dan pihak kurier.
Menurutnya, dalam kejadian berasingan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang menerima laporan membabitkan mangsa dari daerah Temerloh dan Kuantan.
“Bagi kes 5 Jun lalu, pesara berumur 67 tahun itu menerima panggilan telefon daripada saspek yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek memberitahu mangsa telah membuat penghantaran bungkusan melalui pos laju yang mengandungi kad ATM dan pengenalan.
Sementara itu, Yahaya berkata, dalam kes berasingan, seorang penjawat awam telah menerima panggilan telefon daripada saspek yang menyamar sebagai Pegawai Gdex memberitahu nama mangsa telah digunakan dalam proses penghantaran bahan terlarang.
Katanya, barang tersebut merupakan tiga keping kad pengenalan, tiga keping kad ATM dan tiga keping sim kad serta akan dihantar ke Perlis malahan nama mangsa juga telah disenarai hitamkan.
“Bagi meyakinkan mangsa, panggilan tersebut telah disambung ke pihak polis dan mahkamah dan mangsa telah diminta untuk membuat pinjaman peribadi. Kemudiannya wang tersebut kononnya akan dipindahkan ke satu akaun Juruaudit Bank Negara Malaysia untuk siasatan.
“Dalam tempoh seminggu mulai 14 April lalu, mangsa telah membuat empat transaksi berjumlah RM95,200 ke empat akaun yang berbeza,” katanya. – nasionalkini.my